Sorting by

×

AKTA KOPERASI BAHARU DIBENTANG HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal menggubal suatu akta baharu koperasi bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502].

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, akta berkenaan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini selepas selesai sesi libat urus yang dijalankan di seluruh negara.

Jelas beliau, menerusi penggubalan akta tersebut, beberapa perkara akan ditambah baik, antaranya meliberalisasikan gerakan koperasi, selain memperkasa SKM sebagai badan agensi kawal selia koperasi di negeri ini.

“Dengan keadaan, cabaran dan situasi masa kini, ia menuntut koperasi untuk mengadaptasi kepada perubahan perusahaan dan cara berniaga dan semua itu menuntut satu kawalan perundangan yang perlu ditambah baik.

“Jadi, ini antara objektif kita menambah baik atau memperkenalkan akta koperasi yang sesuai dengan situasi dan cabaran gerakan koperasi pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Ahmad Norihan Jalal; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai Hari Koperasi Negara 2025, Ewon memaklumkan, setakat dua hari penganjurannya ia telah berjaya menarik kehadiran lebih 32,000 pengunjung dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada hari terakhir, hari ini.

Katanya, dalam tempoh dua hari juga, kesemua pempamer yang terlibat telah berjaya menjana jualan berjumlah RM800,000.

“Selain jualan, saya berharap menerusi penganjuran Hari Koperasi Negara ini juga orang ramai, khususnya para usahawan mendapat akses lengkap kepada maklumat mengenai program-program yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan yang mengambil bahagian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

575
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU CIPTA MODEL KOPERASI MASA DEPAN
Next post MPJ GANTI LEBIH 600 PAPAN TANDA SEKITAR JASIN