Sorting by

×

AL-AZHAR SETUJU JADIKAN UNIMEL PUSAT PASCASISWAZAH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PENGKALAN BATU 6 Mac – Al-Azhar Al-Sharif iaitu institusi pendidikan agama Islam terbesar dunia di Mesir bersetuju menjadikan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sebagai pusat pascasiswazah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara yang berjaya dimeterai dalam lawatan kerja rasminya ke institusi itu baru-baru ini.

“Inilah kejayaan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan, selain menjadi bukti tidak mengenepikan kepentingan negeri baik dalam sudut duniawi mahupun rohani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka Bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Hadir sama, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, dalam lawatan ke Mesir, beliau turut berkesempatan bertemu dengan anak-anak Melaka yang sedang menuntut ilmu di sana, serta merasmikan blok penginapan mereka yang diberi nama Wisma Melaka yang disediakan oleh kerajaan.

Jelas beliau, atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri, mahasiswa anak Melaka di sana hanya perlu membayar sewa bilik sebanyak RM20 sahaja.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyokong rakyat, walaupun mereka berada jauh di luar negara, memastikan mereka dapat fokus kepada pelajaran tanpa beban kewangan yang berat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1359
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM13.7 JUTA BELA KEBAJIKAN RAKYAT SEMPENA RAMADAN, SYAWAL