Sorting by

×

ALUMNI UTEM CIPTA SISTEM PINTAR TERNAKAN IKAN MUDAH ALIH UNTUK KOMUNITI

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER MOLEK 4 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Persatuan Alumni UTeM telah membangunkan Sistem Pintar Ternakan Ikan Mudah Alih untuk disumbangkan kepada komuniti Kampung Angkat UTeM di Kampung Bukit Nibong, di sini, sebagai inisiatif bagi menjana ekonomi komuniti setempat.

Sumbangan ini disampaikan sempena lawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam ke Kampung Angkat UTeM, baru-baru ini.

Wakil Jawatankuasa Persatuan Alumni UTeM Ahmad Nawawi Mohd Amin, berkata, Sistem Pintar Ternakan Ikan Mudah Alih itu dilengkapi dengan sistem automatik untuk memastikan kualiti air kolam ternakan sentiasa dalam keadaan baik.

Tambahnya, sistem itu juga bertujuan memastikan ternakan berada dalam keadaan baik dan sihat melalui penjagaan air yang berkala secara automatik selain dilengkapi dengan empat elemen sistem utama lain.

“Sistem ini turut dilengkapi dengan sistem solar untuk membekalkan kuasa sistem oksigen, sistem pemasa pemberian makanan secara automatik, sistem pemasa untuk pertukaran air secara automatik serta sistem pengisian air automatik.

“Kami turut mencipta dan membangunkan lapan set sistem ini dengan kos yang rendah, namun mampu memberi impak besar kepada komuniti Kampung Angkat UTeM dengan mengambil masa sekitar dua minggu sahaja untuk disiapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sumbangan alumni itu sebagai tanda semangat kesepaduan serta komitmen bersama dalam menyokong pembangunan lestari Kampung Angkat UTeM.

“Bukan itu sahaja, malah mereka turut memasang lampu solar di masjid kampung ini sebagai inisiatif pencahayaan yang lebih ekonomi untuk kegunaan masyarakat setempat.

“UTeM turut meluahkan rasa bangga atas sumbangan yang diberikan oleh alumni yang sentiasa menjadi rakan strategik universiti dalam memacu inovasi tempatan bagi kelestarian komuniti setempat,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, projek itu bukan sahaja membantu komuniti untuk menjana pendapatan melalui penerapan teknologi pintar, malah turut memperkukuh ekosistem pembangunan desa yang lebih inklusif dan lestari.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (UACE), Dr. Hazli Rafis Abdul Rahim berkata, kolaborasi erat antara alumni, universiti dan komuniti merupakan kunci kejayaan pelaksanaan projek inovasi ini.

“Kami percaya pendekatan Quadruple Helix yang melibatkan akademia, industri, kerajaan dan komuniti ini akan menjadi pemacu utama kepada pembangunan desa yang mampan,” katanya.

Pada majlis yang sama, UTeM mempamerkan beberapa produk inovasi bertaraf antarabangsa yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik yang telah mencipta nama dan membina rangkaian kejayaan di peringkat global.

Antara pengisian lain yang turut diadakan adalah, sesi taklimat khas mengenai projek Kampung Angkat UTeM, lawatan ke tapak projek pembuatan kerisik oleh penduduk kampung serta sesi penghargaan kepada alumni yang terlibat secara langsung dalam pemindahan teknologi dan kepakaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post MTD PROPERTIES LANCAR TIGA PROJEK UTAMA DI AYER KEROH, KAJANG TAHUN INI
Next post TAMAN PERMAINAN PLAZA SUNGAI UDANG DINAIK TARAF