
ALUNAN KALAM ILAHI ‘BERGEMA’ DI SUNGAI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Pengisian Ramadan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) tampil berbeza apabila bakal mengadakan Majlis Khatam al-Quran di atas bot menelusuri Sungai Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, majlis dengan kerjasama Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka itu dijadualkan berlangsung pada 12 Mac depan.
“Majlis khatam al-Quran ini antara pengisian program PPSPM sepanjang Ramadan ini dan ia akan membabitkan kira-kira 100 pelajar.
“Ia akan bermula di Jeti Pengkalan Rama dan menelusuri Sungai Melaka sambil pelajar ini akan khatam al-Quran, di mana ia secara tidak langsung dapat menyuburkan syiar Islam dengan pendekatan lebih santai dan dapat mendekati masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shaharul Azuar, penganjuran majlis berkenaan merupakan kesinambungan daripada program sama yang pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu.
“Kita berharap ia dapat menarik minat generasi muda untuk lebih mendekati al-Quran serta menghayati pengisian Ramadan dengan cara yang lebih bermakna.
“Selepas selesai pelajar ini akan diraikan pada majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


