Sorting by

×

ANAK EMU PENYERI BAHARU ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 14 Januari – Gelagatnya yang comel dan lincah berlari menjadikan anak burung emu sebagai satu lagi tarikan terbaharu di Zoo Melaka.

Spesies burung ketiga tertinggi di dunia ini itu kini menjadi penyeri taman haiwan berkenaan selepas dua ekor anak daripada spesies unggas itu diterima pada penghujung tahun lalu.

Veterinar Zoo Melaka, Michelle Wong berkata, emu merupakan spesies burung yang biasa ditemui di Australia, di mana, jangka hayatnya boleh mencecah 10 hingga 20 tahun.

Jelasnya, burung tersebut tergolong dalam kategori haiwan omnivor dan kebiasaannya menjadikan buah-buahan, tumbuh-tumbuhan, serta serangga sebagai diet utama.

“Jadi kepada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Common Emu’ atau burung emu ini bolehlah datang ke Zoo Melaka kerana kita akan berkongsi pelbagai maklumat mengenai spesies burung unik ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Pembantu Veterinar Zoo Melaka Muhammad Syaufiq Hanif Zaini memaklumkan, dia mula menjaga anak burung emu itu selepas ia dibawa masuk pada 17 dan 23 Disember tahun lalu.

Menurutnya, pada permulaan, salah seekor anak burung itu mengalami masalah pada bahagian kaki, namun dengan penjagaan dan rawatan rapi yang diberikan, ia kini menjadi normal dan semakin aktif.

“Sebagai veterinar dan pembantu veterinar di sini, memang sudah menjadi tugas kami untuk memastikan kesihatan haiwan sentiasa terjamin, jadi, sebaik sahaja mengetahui masalah anak burung emu ini, kita berusaha memberikan rawatan terbaik untuk mengelakkannya cacat.

“Alhamdulillah sekarang ia semakin normal dan sebagai petugas kami akan terus memastikan kesihatan haiwan sentiasa berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Tambahnya, selain kesihatan, aspek nutrien dan diet haiwan itu juga antara yang dititikberatkan di mana di Zoo Melaka, spesies burung tersebut diberikan diet khas berupa dedak ayam yang dicampur sedikit sayur sawi yang dicincang halus.

“Untuk permulaan memang berdepan kesukaran kerana burung ini masih belum biasa dengan diet tersebut, namun kini kedua-duanya semakin berselera dan menikmati diet khas yang diberikan.

“Selain makanan, air dan suplemen untuk membantu tumbesaran dua burung ini juga turut disediakan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2025: MELAKA TUMPU PERSEDIAAN HADAPI PRN
Next post DEWAN TERBUKA RUMAH AWAM PULAU SEBANG 3 SIAP FEBRUARI DEPAN