
ANAK MELAKA DAPAT DISKAUN NAIK MELAKA RIVER CRUISE SEPANJANG RAMADAN
BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menawarkan potongan harga sebanyak 10 peratus khas untuk anak Melaka menikmati pelayaran menelusuri Sungai Melaka dengan Melaka River Cruise sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, Diskaun Anak Melaka itu bermula sejak 24 Februari sehingga 20 Mac depan khususnya kepada pemegang MyKad 04 dan 30.
“Sempena bulan Ramadan ini kami menawarkan tawaran istimewa untuk anak Melaka menerusi Diskaun Anak Melaka apabila memberikan potongan harga sebanyak 10 peratus.
“Pengunjung hanya perlu menunjukkan MyKad ketika membuat pembelian tiket, di mana tawaran ini antara inisiatif untuk memberi peluang kepada anak Melaka menelusuri Sungai Melaka pada harga istimewa sempena Ramadan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Justeru, Shaharul Azuar berharap agar lebih ramai anak Melaka merebut peluang istimewa yang ditawarkan ini memandangkan promosi seumpama itu tidak dilaksanakan secara berterusan dan hanya pada tempoh tertentu sahaja.
“Sejak Diskaun Anak Melaka bermula, kita lihat ada peningkatan jumlah pengunjung kerana ada yang datang bersama keluarga untuk menikmati tawaran diberikan ini,” katanya.
Sementara itu Shaharul Azuar berkata, sepanjang bulan Ramadan juga pihaknya bekerjasama dengan rakan strategik dengan menawarkan pelayaran percuma menaiki Melaka River Cruise menerusi pembelian pakej khas.
“Sebagai contoh, menerusi kolaborasi bersama Kilang Makan Melaka, pelanggan yang membuat tempahan pakej berbuka puasa bagi sekurang-kurangnya 10 orang akan menikmati pelayaran bot secara percuma sebelum waktu berbuka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


