Sorting by

×

ANAK MELAKA PELAJAR TERBAIK SEJARAH STPM 2024

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BUKIT BARU 27 Jun – Meskipun keputusan menyambung pengajian di tingkatan enam bukan pilihan pertama, namun usaha tekun calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 Ahmad Hanif Roslan, membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan bagi subjek Sejarah.

Ahmad Hanif, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah turut memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Menurutnya, selepas tamat tingkatan lima dia menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke universiti selepas memperoleh 5A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya ada menerima beberapa tawaran ke universiti tetapi akhirnya saya ambil keputusan untuk ke tingkatan enam bersama rakan.

“Sepanjang semester satu tanggapan mengenai tingkatan enam berubah, malah saya mula minat dengan cara pembelajaran termasuk ‘jatuh cinta’ dengan subjek sejarah yang merangkumi sejarah dunia,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu ditemui selepas Majlis Apresiasi STPM 2024 Peringkat Negeri Melaka, yang disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor, di Dewan Bestari, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, di sini, semalam.

Bercita-cita menjadi seorang pendidik, Ahmad Hanif berkata, dia tidak pernah terfikir akan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan dalam subjek Sejarah.

“Meskipun saya meminati subjek sejarah tetapi tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini malah tidak tahu ada anugerah ini sehingga menerima panggilan daripada guru.

Menurutnya, anugerah dan keputusan cemerlang diperolehnya itu juga hasil sokongan dan bantuan keluarga serta guru yang tidak jemu memberi motivasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post HARI PERTAMA MELAKA AGROFEST 2025 ‘DISERBU’
Next post BUDAK 12 TAHUN MAUT, TUJUH CEDERA DALAM NAHAS DI KM189.1