
ANAK MELAKA PERLU BERFIKIRAN SAINTIFIK, KREATIF DAN BERINOVASI
TANJUNG BIDARA 30 September – Pengukuhan sistem pendidikan di negeri ini menerusi pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan anak melaka dengan ciri-ciri pemikiran santifik, kreatif dan berinovasi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, STEM dan TVET amat penting dalam suasana gelombang perubahan teknologi dunia yang amat pantas ketika ini.
Katanya, anak Melaka tidak boleh mengambil ringan kepentingan STEM dan TVET kerana kedua-duanya adalah nadi utama yang menentukan hala tuju pembangunan serta masa depan negara.
“Dalam arus ini, saya tidak mahu generasi muda Melaka sekadar menjadi pemerhati atau pengguna teknologi, sebaliknya mesti tampil di barisan hadapan sebagai pencipta dan pemacu kemajuan yang memberi manfaat melangkaui sempadan negeri hingga ke persada dunia.
“Melaka sedang menuju ke arah negeri pintar dan berteknologi tinggi. Untuk menjayakannya, kita perlukan generasi muda yang berfikiran saintifik, kreatif dan berinovasi,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program MegaMix Fiesta @SGB, Karnival Korikulum, STEMspire @SGB dan Hari Koperasi Peringkat Negeri Melaka di Dewan Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor dan Pengurus Besar Yayasan Petronas, Zaki Mahat.
Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim dan Pengetua SMK Ghafar Baba Sahreah Md Zin.
Ab Rauf berkata, pengukuhan ekosistem STEM dan TVET dilaksanakan secara menyeluruh bermula dengan pendedahan di peringkat sekolah hingga ke laluan kerjaya yang lebih luas.
Menurut beliau Kerajaan negeri turut menawarkan kursus kemahiran di 61 institusi TVET dan universiti di seluruh Melaka yang dirangka untuk memperkasa potensi, mengasah bakat, serta membina kompetensi praktikal anak-anak negeri agar mereka mampu menonjol di pelbagai bidang dan bersaing di pentas global.
“Alhamdulillah, usaha ini mula membuahkan hasil apabila kadar pengangguran di Melaka kini menurun kepada hanya 1.9 peratus pada suku pertama 2025, berbanding 2.2 peratus pada suku keempat 2024 jauh lebih rendah berbanding kadar nasional, iaitu 3.1 peratus,” katanya.
Penganjuran karnival itu menghimpunkan lebih 30 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Negeri Melaka, melibatkan lebih 2,000 pelajar yang mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan, pameran inovasi dan aktiviti interaktif.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.