
ANAK MUDA KAGUM KEHEBATAN PANGLIMA AWANG
KLEBANG 23 September – Dapat mengetahui asal usul, mengenali siapa sebenarnya Panglima Awang dan kehebatan ikon pelayan berkenaan memberikan kepuasan buat anak muda ini yang singgah ke Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca @ ‘Panglima Awang’.
Pameran bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 itu diadakan di Admiral Hall, Encore Melaka bermula hari ini hingga 30 September nanti.
Raziq Safwan Abdul Samad, 20, dari Bukit Beruang berkata, peluang menghadiri pameran itu dianggap sangat bermakna sebelum beliau melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda Pendidikan Sejara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Maklumat yang diperoleh sepanjang beberapa jam berada di sini, akan dijadikan bekalan ketika melanjutkan pengajian di UPSI nanti. Bukan setakat mengenali siapa Enrique de Malaca atau Panglima Awang, tetapi saya juga menambah pengetahuan mengenai Ferdinand Magellan dan pelayaran mereka yang hebat.
“Sebagai peminat sejarah pameran seperti ini amat bermanfaat khususnya buat orang muda, ambil peluang terbuka untuk kenali dan cakna tetang kehebatan bangsa kita dan kenali tokoh pelayaran Melayu,” katanya ketika ditemui di Encore Melaka.
Anak bongsu daripada dua beradik ini juga berasa bangga kerana menjadi antara pengunjung terawal yang singgah ke pameran berkenaan.
“Datang awal tidak perlu menunggu giliran atau bersesak, ada banyak masa untuk meneliti maklumat dipamerkan dalam suasana lebih tenang.
“Cita-cita saya adalah menjadi seorang guru sejarah, harap suatu hari nanti saya dapat mendidik pelajar dan jadikan sejarah sebagai subjek yang menyeronokkan untuk dipelajari, bukan sekadar menghafal,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Norashikin Sebah, 43, hadir menemani Raziq Safwan berkata, dia sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap minat anaknya sejak dari bangku sekolah.
“Anak saya memang minat sejarah sejak sekolah menengah lagi. Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong apa sahaja yang dia minat, termasuk membawanya ke pelbagai pameran sejarah.
“Saya mahu dia mengenali asal-usul kita dan sejarah Melaka. Bila Kerajaan Negeri anjurkan pameran sebegini, ia bagus untuk tarik generasi muda supaya mereka lebih menghargai sejarah,” katanya.
Pameran yang diadakan bersempena WTD 2025 itu memaparkan pelbagai bahan pameran interaktif mengenai pelayaran Enrique De Malaca, tokoh Melayu yang pernah belayar mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.