Sorting by

×

ANAK PANTAI KUNDOR TERIMA PAKAIAN, KELENGKAPAN SEKOLAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 6 Januari – Kegembiraan jelas terpancar di riak wajah 100 penerima bantuan apabila menerima pakaian dan kelengkapan persekolahan baharu.

Kesemua murid dan pelajar sekolah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor itu antara yang terpilih menerima bantuan menjelang bermulanya sesi persekolahan 2026 pada minggu hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, sumbangan persekolahan itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Tanjung Bruas Port (TBP) bagi membantu keluarga asnaf dan kurang berkemampuan.

“Difahamkan program CSR yang memasuki tahun ke tujuh ini diadakan bagi membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan menjelang sesi persekolahan baharu.

“Untuk sesi persekolahan 2026 ini seramai 100 orang terpilih termasuk empat daripadanya adalah anak yatim piatu yang mana setiap seorang daripada mereka akan menerima persalinan dan kelengkapan sekolah baharu,” katanya ketika ditemui selepas Program CSR Back To School TBP, di sebuah gedung pakaian di sini, hari ini.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, inisiatif dilaksanakan ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa, malah menjadi tanda sokongan TBP terhadap pendidikan anak-anak dalam komuniti setempat.

“Saya amat berharap program CSR ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai usaha berpanjangan dalam menyantuni keperluan masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan.

“Menerusi program CSR ini juga ia menunjukkan komitmen daripada pihak syarikat yang berkongsi rezeki hasil daripada keuntungan yang diperoleh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post PESILAT MUDA SK JERAM HARUMKAN NAMA MELAKA
Next post MAIM SALUR RM148.4 JUTA DANA ZAKAT BANTU ASNAF DI MELAKA