
ANAK PEMBANTU PEJABAT RAIH ANUGERAH CANSELOR UNIMEL
AYER KEROH 1 Disember – Walaupun dilahirkan dalam keluarga ‘biasa-biasa’ ia bukan penghalang untuk Nur Asyura Abd Aziz Shahrifuaddin, 25, membuktikan dirinya mampu cemerlang dan berjaya.
Anak jati Malim itu, menjadi contoh terbaik usaha tidak mengkhianati hasil apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Ke-27, semalam.
Nur Asyura yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah dengan kepujian itu tidak menyangka usaha kerasnya dalam menuntut ilmu di universiti penuh milik Kerajaan Negeri itu sejak diploma hingga ijazah berakhir dengan kenangan paling indah apabila menerima pengiktirafan tertinggi dalam hidupnya.
Dia yang berhasrat bergelar seorang peguam menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah untuk ibu bapanya yang banyak berkorban, selain dibantu oleh pensyarah yang sangat berkaliber di UNIMEL.
“Semua ini berkat doa dan sokongan ibu bapa saya. Ayah yang bekerja sebagai pembantu pejabat di sebuah bank banyak berkorban mengambil dan menghantar saya setiap hujung minggu dan banyak memberikan bantuan dalam sudut kewangan sehingga saya berjaya.
“Alhamdulillah, berkat sokongan semua termasuk pensyarah dan usaha keras saya mengulang kaji setiap subjek pada waktu malam sepanjang pengajian, saya menerima anugerah ini. Saya amat bersyukur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Nur Asyura menerima anugerah itu yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor UNIMEL Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Mengulas mengenai pengajiannya sepanjang di UNIMEL, anak sulung daripada empat beradik itu menyifatkan UNIMEL sebagai sebuah institusi pengajian yang cukup lengkap dan berupaya melahirkan graduan terbaik di negara ini.
Katanya, fasiliti yang disediakan di Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa juga semakin baik, selain pensyarahnya juga merupakan figura hebat dalam bidang undang-undang.
“UNIMEL mempunyai ‘mock court’ sendiri untuk pelajar undang-undang dan saya sendiri pernah membuat ‘mock trial’ bersama Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Pahang di UNIMEL. Bagi saya fasilitinya kini bertambah baik dan dibantu dengan tenaga pengajar berkaliber,” ujarnya.
Sementara itu, ibunya, Raja Suzzira Raja Abdul Hamid, 49, meluahkan rasa bangga dan terharu dengan kejayaan diraih anaknya di UNIMEL.
“Walaupun saya dan suami tidak belajar tinggi, namun kami sentiasa memberi semangat untuk anak-anak berjaya. Mungkin ini anugerah Allah SWT untuk saya dan suami apabila dikurnia anak-anak yang berjaya dalam bidang diceburi,” katanya dalam nada sebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

