Sorting by

×

ANGGOTA MALBATT SELAMAT DI SELATAN LUBNAN, TERUS PATUH SOP

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mac – Kira-kira 500 anggota MALBATT 850-13 yang terlibat dalam misi pengaman di selatan Lubnan dilaporkan selamat dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun ketegangan peperangan di negara itu semakin memuncak.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata setakat ini kesemua anggota sentiasa mematuhi SOP keselamatan yang ditetapkan sepanjang menjalankan tugas meskipun tahun ini merupakan tahun terakhir pasukan itu berkhidmat di negara berkenaan.

“Walaupun kita tahu bahawa di selatan Lubnan dan di Lubnan itu sendiri sekarang sudah masuk kepada kancah peperangan tetapi buat masa ini anggota kita masih selamat dan mereka memang mempunyai SOP untuk menjaga keselamatan mereka.

“Tugas mereka di Lubnan adalah menjaga keamanan untuk mengelakkan peperangan dan di samping itu mereka juga melaksanakan misi bantuan kepada warga Lubnan serta pelarian yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa 1447H Bersama Pekerja Pembersihan dan Rakan Media di Kompleks Japerun Durian Tunggal, di sini, malam tadi.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, penglibatan Malaysia dalam misi itu dilaksanakan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian komitmen negara dalam membantu mengekalkan keamanan di peringkat antarabangsa.

“Malaysia sentiasa komited untuk memastikan bahawa dunia kita lebih aman dan kita kalau boleh elakkan daripada peperangan ini.

“Jika diperlukan, Malaysia sentiasa bersedia membantu dalam sebarang bentuk misi keamanan melalui mandat PBB,” katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 100 pekerja pembersihan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post LEBIH 400,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK KE MELAKA MENJELANG AIDILFITRI
Next post JEBAT, ‘KUCING HITAM’ MANJA ZOO MELAKA