
ANGGOTA TENTERA CEDERA DALAM LATIHAN PAYUNG TERJUN DI KLEBANG
KLEBANG 30 Disember – Seorang tentera Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) cedera semasa latihan penerjunan payung terjun di Padang Encore, Klebang, Ahad lalu.
Terdahulu, rakaman video pendaratan anggota tentera berdurasi tujuh saat itu tular di media sosial sejak semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan Tentera Darat Malaysia (TDM), kejadian berlaku kira-kira jam 6.40 petang melibatkan Koperal Syed Mohd Azayuzil Afifi Syed Mohd Aziz.
Kata kenyataan itu, insiden itu dipercayai berpunca daripada perubahan arah angin secara tiba-tiba ketika fasa akhir pendaratan, menyebabkan anggota terbabit tidak dapat mendarat dengan sempurna (hard landing).
TDM memaklumkan anggota berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan serta pemantauan lanjut di Hospital Melaka.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan beliau telah menziarahi anggota terbabit di Hospital Melaka.
“Koperal Syed Mohd Azayuzil mengalami patah tulang rusuk kanan serta kecederaan di bahagian leher akibat terjatuh ketika menjalani latihan berkenaan,” tulisnya.
Dalam pada itu, TDM turut memaklumkan satu lembaga penyiasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca terperinci kejadian selain menambah baik prosedur keselamatan latihan pada masa hadapan.
Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mendoakan kesembuhan segera buat anggota terlibat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

