Sorting by

×

ANGGOTA TENTERA MAUT REMPUH KERETA MASUK SIMPANG MENGEJUT

Masa Membaca:58 Saat

PAYA RUMPUT 10 Julai – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang membelok masuk ke simpang secara mengejut di Jalan Tangga Batu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Muhammad Haqimy Mohd Amin, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Tangga Batu menuju ke Sungai Udang manakala motosikal mangsa datang dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu motosikal ditunggangnya merempuh bahagian hadapan kereta tersebut.

“Akibat rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Katanya, setakat ini tiada rakaman kamera pemuka (dashcam) atau kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh di lokasi kejadian, dan tiada saksi bebas tampil memberi maklumat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

827
Kongsi :
Previous post 166 PROGRAM MERIAHKAN WRUR DUN DUYONG
Next post PANTAI TANJUNG BIDARA SEMAKIN BERSERI OGOS INI