Sorting by

×

ANGKAT PRODUK ‘MADE IN RIM’ DI WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

SERI NEGERI 25 Julai – Produk ikonik Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim seperti Tasik Chin Chin, Batik Clay Rim, Biskut Tongkat dan limpahan buah tropika tempatan disaran untuk diangkat sebagai antara ikon rasmi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, cadangan itu dibawa dalam usaha menjadikan DUN Rim sebagai Zon Perintis Eko-Industri Kecil Sederhana di negeri ini.

Beliau berkata, visi tersebut mudah, di mana Kerajaan negeri sendiri harus berurus niaga terus dengan pengusaha kampung agar rangkaian produk dan lokasi tersebut diangkat sebagai cenderamata eksklusif untuk kenamaan, mahupun hadiah rasmi program kerajaan negeri dan persekutuan.

“Apa yang mereka perlukan hanyalah suntikan modal kecil bagi rekaan bungkusan yang ‘instagram-mable’, selebihnya kualiti dan kisah di sebalik produk telah pun memikat.

“Apabila label ‘Made in Rim’ melonjak pada pentas pelancongan negeri, aliran pelancong akan membuak ke Tasik Chin Chin. Kesannya bersifat ‘domino’, inap desa kampung penuh ditempah, kedai makan dan gerai jagung bakar menerima lonjakan jualan, bengkel batik wanita Rim mendapat tempahan korporat, malah perkhidmatan sewa basikal, bot paddle, pemandu pelancong serta bengkel kraftangannya turut berkembang.

“Ini ekosistem ekonomi desa yang kita idamkan, berpusing atas roda nilai tempatan, berdaya saing pada pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan bertajuk ‘Mendepani Cabaran, Memacu Perubahan’ pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, pada Rabu.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, bagi mengukuhkan rantaian tersebut, beliau turut mencadangkan agar beberapa agensi kerajaan untuk turut sama membantu produk usahawan desa di Rim.

Umpamanya, beliau berkata, Perbadanan Melaka (MCORP) dan Dana Pembangunan Usahawan Negeri Melaka (DPUNM) di bawah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri boleh menyediakan geran padanan bagi penjenamaan dan pensijilan.

“Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula boleh mengurus rantaian sejuk buah nanas, durian dan jagung yang terdapat di Rim, selain Majlis TVET Negeri Melaka menyahut seruan melatih belia Rim sebagai pemandu pelancong, pereka pakej agro-ekowisata dan pengurus homestay.

“Pada masa sama, agensi-agensi teknikal lain, termasuk TEKUN dan HRD Corp boleh menyelaras modul pemasaran digital, kemahiran hospitaliti dan kesedaran ESG.

“Dengan pendekatan bersepadu ini, insya-Allah, Dun Rim bukan sekadar menyumbang cenderamata kepada tetamu kenamaan, tetapi melakar lonjakan pendapatan desa yang mampan dan inklusif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1126
Kongsi :
Previous post PERZIM BAWA PAMERAN ‘PELABUHAN MELAKA’ KE KEDAH
Next post TUKAR ALAMAT KAMPUNG DIGITAL KINI PERCUMA – KM