Sorting by

×

ANUGERAH CMIEA JADI PEMANGKIN PRODUKTIVITI INDUSTRI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersedia memberikan komitmen berterusan dalam usaha meningkatkan produktiviti negara merentasi sektor swasta dan awam.

Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Selatan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Azimah Adnan berkata, Program Roadshow Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Tahun (CMIEA) 2025 adalah medium strategik bagi menggalakkan industri tempatan meningkatkan daya saing, seterusnya mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

Azimah berkata, sesi dianjurkan itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang memfokuskan kepada pemerkasaan industri melalui peningkatan produktiviti.

“Daripada perspektif MPC, kami melihat skop produktiviti iaitu cara bagi meningkatkan kecekapan dan prestasi tidak kira dalam sektor awam mahupun swasta.

“CMIEA bukan sahaja menjadi medan penghargaan kepada syarikat yang cemerlang, tetapi turut menyediakan nilai tambah kepada peserta dalam bentuk pengiktirafan dan peningkatan imej korporat,” katanya ketika ditemui pada Program Roadshow CMIEA 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Perasmian majlis itu disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin.

Mengulas lanjut, Azimah berkata, melalui penyertaan dalam CMIEA, syarikat berpeluang menilai pencapaian mereka berdasarkan ‘Business Excellence Framework’ (BEF) yang turut digunakan dalam pengiktirafan peringkat kebangsaan seperti Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) yang dikendalikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“BEF merupakan rangka kerja penanda aras dalam menilai kecemerlangan syarikat, sekali gus meletakkan syarikat yang menyertai CMIEA sebaris dengan syarikat bertaraf nasional mengambil bahagian dalam program seumpamanya di bawah MITI.

“MPC juga menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam menganjurkan CMIEA yang dilihat sebagai inisiatif tepat pada masanya dalam usaha memperluas penyertaan industri dalam program AKI,” katanya.

Menurutnya, pemenang CMIEA yang menunjukkan prestasi cemerlang akan disalurkan ke peringkat kebangsaan bagi pencalonan Anugerah Kecemerlangan Industri, sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mendapat pengiktirafan pada peringkat lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post KBS PERUNTUK RM2 JUTA SANTUNI BEKAS ATLET KEBANGSAAN
Next post PENGAMAL MEDIA MELAKA SERTAI KURSUS AI, TINGKAT KEMAHIRAN DIGITAL