Sorting by

×

‘ANUGERAH INI HADIAH ISTIMEWA UNTUK RAKYAT MELAKA’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

CYBERJAYA 9 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan pengiktirafan sepanjang hayat daripada Human Resource Development (HRD) Asia dianugerahkan kepada dirinya sebagai hadiah istimewa buat seluruh rakyat Negeri Melaka.

Katanya, pengiktirafan itu bukan hasil usaha kerasnya secara individu, tetapi hasil daripada sokongan dan kerjasama segenap lapisan rakyat selain penjawat awam dalam membina Melaka menjadi sebuah negeri yang disegani.

Ab Rauf berkata, semangat dan sokongan daripada rakyat menjadi asas dalam menentukan setiap keputusan dibuat dan ia terbukti menerusi pelbagai kejayaan diraih Negeri Melaka.

“Bijak Laksana Tuah, Berani Kerana Jebat bukan sekadar slogan, tetapi satu falsafah dan mantera keramat menjadikan kita lebih berani untuk terus maju.

“Kita merapatkan lagi jurang antara pemimpin dan rakyat. Berikutan itu kepimpinan saya lebih mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat, membuka peluang dan cakna kepada mereka yang memerlukan.

“Terima kasih kepada Jawatankuasa Anugerah HRD Asia atas pengiktirafan ini,” kata Ketua Menteri ketika berucap selepas menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat daripada HRD Asia pada Majlis Makan Malam Asia HRD Awards 2025 di Universiti Cyberjaya, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Tedahulu Ketua Menteri menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat daripada HRD Asia disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Asia HRD Awards 2025 Dr. Mohamed Waheed Hassan Manik.

Sementara itu antara individu lain turut menerima pengiktirafan daripada HRD Asia adalah Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Corporation Berhad Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman; Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Malaysia, Kamsiah Ibrahim dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Human Resource Corporation Malaysia, Siti Suryani Kama Asmawi.

Pengiktirafan turut diberikan kepada Pengarah Eksekutif Program Pembangunan PPM Manajemen Indonesia, Ibu Zusty Dewayani dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Education Alliance Co Ltd Hong Kong, Freeman Yeung Bin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post AB RAUF KETUA MENTERI KEDUA TERIMA PENGIKTIRAFAN HRD ASIA
Next post SARINGAN KANSER PERCUMA HARGAI ANGGOTA SRS MELAKA