
ANUGERAH MELAKA MEMBACA 2025 IKTIRAF BUDAYA ILMU RAKYAT MELAKA
AYER KEROH 11 Jun – Anugerah Melaka Membaca yang diluncurkan pada 23 April lalu merupakan satu langkah strategik dan progresif Kerajaan Negeri dalam memupuk budaya masyarakat berilmu.
Inisiatif yang diwujudkan menerusi Bajet 2025 Negeri Melaka itu diselaraskan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) dan kini sedang berlangsung dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Julai 2025.
Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, anugerah itu diadakan bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai individu serta organisasi yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembacaan, pencarian ilmu dan pembangunan masyarakat celik maklumat.
Menurut beliau, ia juga merupakan sebahagian daripada agenda memperkasa budaya membaca di negeri ini selaras dengan visi Melaka sebagai Negeri Membaca Menjelang 2030.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu galakan agar rakyat Melaka terus membaca, menulis dan berkongsi ilmu dalam pelbagai bentuk dan platform,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohamed Aizammuddy, terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Ikon Pembaca Melaka; Gerbang Maklumat Ilmu dan Pembaca Terbaik.
Jelas beliau Ikon Pembaca Melaka akan mengiktiraf tokoh masyarakat atau selebriti yang aktif mempromosi budaya membaca ,membabitkan lima kategori iaitu kanak-kanak, belia, dewasa, penjawat awam dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menawarkan hadiah RM3,000 bagi setiap kategori berserta hadiah iringan berupa buku, plak dan sijil.
Anugerah Pembaca Terbaik turut mempertandingkan lima kategori iaitu kanak-kanak, belia, dewasa, warga emas atau pesara dan OKU dengan aktiviti pembacaan paling konsisten dan berkualiti yang berpeluang memenangi RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 bagi juara, kedua dan ketiga.
Manakala Gerbang Maklumat Ilmu pula memberi pengiktirafan kepada enam kategori terdiri daripada rumah, pejabat kerajaan, pejabat swasta, rumah ibadah, sekolah dan institusi pengajian tinggi yang menyediakan ruang bacaan serta sudut mahupun pusat sumber dalam memperkasakan budaya membaca dengan tawaran hadiah RM3,000 bagi johan serta RM2,000 dan RM1,000 untuk tempat kedua dan ketiga.
Tambah beliau, menariknya, pada tahun ini, tokoh media dan bahasa terkenal, Ahmad Fedtri Yahya telah dilantik sebagai Duta Anugerah Melaka Membaca 2025 bagi membantu memperluas jangkauan kempen dan menarik minat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Majlis penyampaian anugerah dijadualkan berlangsung pada November 2025. Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial rasmi PERPUSTAM facebook.com/perpustam, laman sesawang di www.perpustam.gov.my atau hubungi talian 06-2824859,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.