
ANUGERAH USAHAWAN MELAKA 2025 TERIMA LEBIH 100 PENCALONAN
BANDARAYA MELAKA 7 Julai – Anugerah Usahawan Negeri Melaka 2025 menerima lebih 100 pencalonan sejak permohonannya dibuka selama sebulan pada 16 Mei hingga 16 Jun lalu.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, kesemua 10 kategori yang dipertandingkan telah mendapat pencalonan daripada usahawan seluruh negeri dan kini pihaknya sedang menjalankan proses penilaian bagi menyenarai pendek usahawan terbaik.
Menurut beliau, malam kemuncak pengumuman anugerah tersebut dijangka akan diadakan pada Ogos depan.
“Sejak dibuka pencalonannya, kita mendapat sambutan yang baik dan sebaik tamat tarikh tutup, lebih 100 permohonan telah kita terima daripada usahawan seluruh Melaka.
“Boleh dikatakan semua 10 kategori ada pencalonannya dan sama-samalah kita saksikan siapakah yang bakal dinobat usahawan terbaik Negeri Melaka, di mana pengumuman acara kemuncaknya akan kita umumkan nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Untuk rekod, antara 10 kategori yang dipertandingkan adalah Usahawan Mikro; Usahawan Kecil; Usahawan Sederhana; Usahawan Belia; Usahawan Wanita; Usahawan Digital dan Inovasi; Usahawan OKU; Usahawan Industri Asas Tani (IAT); Usahawan Global dan Koperasi Terbaik.
Selain itu, satu anugerah khas juga akan diumumkan untuk usahawan Bumiputera dan Bukan Bumiputera.
Penyertaan bagi anugerah tersebut bagaimanapun hanya dibuka kepada semua usahawan mendaftar dengan Suruhjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain mestilah beroperasi di Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.