
APLIKASI SMART AI TOURISM MELAKA DILANCAR SEPTEMBER INI
KUALA LUMPUR 17 Julai – Melaka bakal melancarkan aplikasi pelancongan pintar Smart AI Tourism Melaka sempena Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) September depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aplikasi pintar itu akan menjadi pemandu pelancong yang menyatukan perancang jadual perjalanan pintar, panduan AI dan pembantu maya dalam satu platform
bagi memudahkan urusan pelancong sepanjang di Melaka.
Katanya, inisiatif pelancongan pintar itu bakal memperkenalkan teknologi pandu arah pelancong berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Aplikasi pintar ini membolehkan maklumat mengenai destinasi pelancongan disampaikan dalam pelbagai bahasa seperti Mandarin, Portugis dan Belanda secara interaktif.
“Dulu kita hanya letakkan papan maklumat statik, kini pelancong boleh akses terus melalui kod QR dan AI akan bertindak sebagai jurubahasa serta pemandu pelancong maya.
“Ia akan menjadikan pengalaman melancong di Melaka lebih menarik dan mudah,”katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel di ibu kota, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Turut hadir, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pendekatan memperkenalkan aplikasi pintar itu selari dengan usaha menjadikan Melaka sebagai tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan menghimpunkan pemain industri pelancongan dunia di negeri bersejarah itu.
“Sebagai negeri pelancongan yang telah mencapai lebih 15 juta pelancong pada tahun 2024 dan lebih emat juta pelancong telah membanjiri Melaka, pada tahun ini sehingga Jun, transformasi digital sektor pelancongan
pastinya menjadi keutamaan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.