
ARTIFAK DARI BELANDA BUKTI KEHEBATAN MELAKA
LENDU 4 Jun – Usaha Kerajaan Negeri untuk membawa pulang artifak bersejarah Negeri Melaka sekian lama tersimpan di Belanda mendapat perhatian positif dalam kalangan remaja khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Abdullah Mukrim Afendi, 18, berkata komitmen Kerajaan Negeri untuk memperbetulkan fakta berhubung sejarah Negeri Melaka amat menarik minat orang muda seperti dirinya.
Dia yang berasal dari Kampung Gadek, Alor Gajah berkata, inisiatif itu juga mampu menarik minat orang muda untuk kembali ‘mencintai’ dan lebih cakna terhadap sejarah negara ini yang sebenarnya penuh dengan kehebatan.
“Pada zaman digital serba canggih sekarang, ada yang anggap sejarah tidak begitu penting, belajar sejarah sekadar untuk cemerlang SPM. Tetapi dengan adanya daya penarik iaitu artifak saya yakin ramai yang mahu tahu lebih lanjut apa bakal dibawa pulang dari Belanda tidak lama lagi.
“Selain itu usaha ini juga akan menjadikan maklumat selama ini dianggap sebagai sekadar cerita sebagai satu fakta kerana sudah disertakan bersama dengan artifak sebagai bukti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Kerajaan Negeri Melaka Dan Program Town Hall Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut menyerahkan sumbangan bagi Inisiatif Bijak Sejarah A+ dan Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan 122 pelajar sekitar Parlimen Masjid Tanah dan Tangga Batu.
Pelajar cemerlang SPM yang turut mencapai A+ bagi subjek sejarah ini berkata, banyak pengajaran boleh dijadikan panduan dalam hidup dengan memahami sejarah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.