
ASAHAN DI BAWAH YB ALONG SUDAH BANYAK BERUBAH
ASAHAN 5 April – Pelbagai pembangunan dan kemajuan yang dibawa Datuk Fairul Nizam Roslan atau mesra dipanggil ‘YB Along’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan benar-benar dirasai rakyat.
Penduduk Felda Bukit Senggeh, B. Raja, 39 berkata, antara impak kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan itu adalah berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut menerusi slogan Asahan Sejahtera.
Jelas beliau ia dapat dilihat apabila pelbagai program telah diadakan termasuklah menghidupkan budaya rewang dan kenduri melibatkan pelbagai kaum dan etnik, termasuklah masyarakat Orang Asli.
“Budaya ini dahulu memang menjadi identiti kampung, namun ia semakin hilang, sehinggalah YB menghidupkannya semula sehingga kita dapat melihat masyarakat di sini semakin harmoni dan bersatu padu.
“Pada masa sama, YB juga seorang yang sangat dekat dengan rakyat dan mendengar apa yang rakyat mahukan dan kita bangga melihat perubahan yang berlaku kini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan.

Sementara itu, penduduk Pekan Nyalas, Mariam Abu Saman pula bersyukur kerana memiliki pemimpin yang benar-benar menunaikan janji kepada rakyat, khususnya membabitkan pembinaan stesen minyak di kawasan itu.
“Sebelum ini, kami terpaksa mengisi minyak di kawasan di kawasan yang lebih jauh iaitu Pekan Selandar atau Pekan Jasin yang mengambil masa lebih 10 minit, tetapi dengan adanya stesen minyak di kawasan kami, ia sangat-sangat memberi kelegaan,” ujarnya.
Zamzahirah Abdul Kadir, 52, juga dari Nyalas pula memuji penganjuran WRUR yang disifatkan bukan sahaja menjadi bukti pemimpin dekat dengan rakyat, bahkan ia juga membawa pelbagai limpahan kepada komuniti di Asahan.
“Menerusi WRUR ini saya bukan sahaja dapat terlibat dengan program-program menarik disediakan untuk rakyat, bahkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan juga turun padang, sekali gus memudahkan kami.
“Saya harap WRUR ini dapat diadakan pada secara berkala pada setiap tahun kerana manfaatnya amat besar,” katanya.
Sementara itu, Chin Jia Hui pula menyatakan rasa seronok apabila dapat bersama pelbagai lapisan kaum di bawah satu bumbung bersempena Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan yang diadakan bersekali bersempena WRUR DUN Asahan.
“Memang meriah dan seronok kerana semua kaum ada dan makanan yang dihidangkan juga sangat sedap,” katanya yang hadir dengan berbusana baju kurung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


