
ASTANA BONDA KIDS CENTRE, 14 TAHUN MENDIDIK PEWARIS BANGSA
BEMBAN 30 Disember – Selama 14 tahun menerajui bidang pendidikan awal kanak-kanak, Astana Bonda Kids Centre terus komited melahirkan generasi masa hadapan Malaysia memiliki modal insan seimbang dan holistik.
Sesuai dengan hasrat untuk mengukuhkan lagi jenama dibina sejak lebih sedekad lalu, Astana Bonda Kids Centre membuka sebuah lagi cawangan baharu iaitu Taska Astana Bonda di Bandar Botani Parkland, Jasin.
Pengasas Astana Bonda Kids Centre, Nor Hazwani Muda berkata, jenama itu bermula dengan penubuhan Taska Astana Bonda di Bukit Katil Damai 2, pada 2017, diikuti Tadika Astana Bonda dan seterusnya Pusat Jagaan Astana Bonda.
“Melihat kepada keperluan dan sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa, ia memberikan keyakinan kepada kami untuk membuka cawangan seterusnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh dan terbaharu di Bandar Botani, Jasin.
“Kepercayaan daripada ibu bapa khususnya amat penting untuk kami terus memberi dan menyediakan perkhidmatan terbaik,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Taska Astana Bonda di Bandar Botani Parkland, Jasin, baru-baru ini.

Nor Hazwani berkata, objektif Astana Bonda Kids Centre bukan sekadar melahirkan pelapis masa hadapan yang pintar, cerdas dan aktif, bahkan turut memberi penekanan terhadap aspek keagamaan bagi kanak-kanak Muslim.
Katanya, sebagai tiang agama setiap murid di Astana Bonda Kids Centre, diasuh dan diberikan pendedahan berhubung tatacara menunaikan solat.
“Ini antara sebab ramai ibu bapa memilih Astana Bonda, murid seawal dua tahun diberikan pendedahan mengenai solat, kami juga menerapkan aspek zikir.
“Namun pendedahan ini dilaksanakan mengikut kesesuaian usia dan penerimaan kanak-kanak, kerana minat mereka lebih terarah untuk bermain. Jadi kami pilih solat sunat Dhuha, mudah dan singkat cuma dua rakaat sahaja, tetapi kesannya amat mendalam.
“Bagi meraikan perpaduan, pada setiap Jumaat murid lelaki diminta untuk mengenakan baju Malayu, semenara itu murid perempuan pula menggayakan baju kurung, kita mahu semai dan membina semangat patriotik dalam jiwa pewaris bangsa ini,” katanya.
Mengambil pengajaran daripada insiden tidak diingini berlaku sebelum ini, Astana Bonda Kids Centre amat menitikberatkan aspek keselamatan dan sehubungan itu setiap premis dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) seperti yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setiap premis Astana Bonda Kids Centre memiliki kelulusan dan sijil daripada pihak berkuasa. Malah kami turut mewajibkan setiap guru memiliki sijil prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR), sijil pengendalian makanan serta suntikan anti-tifoid.
“Sementara itu bagi memastikan keselesaan dan ruang pembelajaran yang kondusif setiap tadika hanya menerima antara 28 hingga 30 murid sahaja, bergantung kepada kelulusan yang diberikan oleh pihak berwajib,” katanya.

Jelasnya, premis Astana Bonda Kids Centre beroperasi bermula Isnin hingga Jumaat dari jam 7 pagi hingga 6 petang.
“Sebahagian besar ibu bapa yang menghantar anak ke Astana Bonda Kids Centre adalah kakitangan kerajaan tetapi ada juga yang bekerja di syarikat swasta.
“Untuk pendaftaran baharu di Taska Astana Bonda cawangan Bandar Botani Parkland masih dibuka untuk anak-anak dari umur tiga bulan hingga empat tahun selain pendaftaran cawangan lain juga masih dibuka.
“Manakala untuk transit pula, kami menyediakan perkhidmatan bagi murid sekolah berdekatan seperti Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Razak, Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, Sekolah Kebangsaan Ayer Merbau serta Sekolah Rendah Agama (SRA) yang berdekatan dengan sekolah kebangsaan,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Astana Bonda Kids Centre, ibu bapa boleh menghubungi Nor Hazwani di talian 014-7126921.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


