Sorting by

×

ATASI ISU KESESAKAN BAZAR RAMADAN DUN DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DUYONG 23 Februari – Beberapa pendekatan diambil pihak penganjur bazar Ramadan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dalam menangani isu kesesakan lalu lintas yang berlaku di lokasi itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, aspek keselamatan sama ada pengunjung mahupun peniaga sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Menurutnya, tidak dinafikan berlaku kesesakan khususnya di bazar Ramadan Semabok Perdana dan di Taman Seri Duyong berikutan peningkatan jumlah pengunjung memandangkan waktu cuti.

“Saya ada diberitahu oleh orang awam bahawa berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa di lokasi bazar dan perkara itu diberi perhatian.

“Saya kemudian dimaklumkan oleh pihak penganjur beberapa langkah telah diambil untuk mengatasi isu yang berlaku, sekali gus memastikan ia tidak mengganggu pengguna jalan raya,” katanya.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan lesen kepada peniaga bazar Ramadan Semabok Perdana, semalam.

Menurutnya, keutamaan pihaknya adalah keselamatan dan keselesaan semua pihak selain tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita tidak mahu kesesakan ini menimbulkan risiko kemalangan atau menjejaskan kelancaran trafik setempat untuk itu kita cuba atasi sebaik mungkin. Untuk selesai sepenuhnya tidak mungkin dapat,” katanya.

Sementara itu Mohd Noor Helmy berkata, di dalam DUN Duyong terdapat tiga lokasi penganjuran bazar Ramadan iaitu di Semabok Perdana, Taman Seri Duyong dan Bukit Serindit membabitkan kira-kira 310 peniaga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post POSTER TULAR BANTUAN RAMADAN, TUNTUTAN KREDIT E-TUNAI PALSU – MOF
Next post SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU KAK PAH PEMBUKA SELERA BERBUKA PUASA