Sorting by

×

AYAM RM5 BUKTI ‘MELAKA SAYANG RAKYAT’ DIRASAI WARGA TABOH NANING

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TABOH NANING 19 Mac –Jualan ayam serendah RM5 seekor di Dewan Terbuka Taman Sri Naning di sini, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang melihatnya sebagai peluang menjimatkan perbelanjaan menjelang Aidilfitri.

Salina Daud, 56, berkata dia sanggup datang awal semata-mata untuk mendapatkan ayam murah berkenaan bagi kegunaan keluarganya.

“Sebab dapat ayam murah RM5 itu yang sanggup datang, saya beli empat ekor. Bagus sangat kalau program macam ini dapat dibuat setiap bulan.

“Biasanya di pasar raya, seekor ayam boleh cecah RM15. Saya ada enam anak, jadi ini memang membantu. Persiapan raya pun dah 80 peratus, dua ekor nak masak rendang, dua lagi saya simpan dulu.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka lebih meriah memandangkan kesemua anak saya berada di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20260319 wa0016
SALINA (kanan) bersama anaknya Nurul Izzatul Ain Aran, 23.

Pada program itu Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin turut hadir bagi menyantuni penduduk Taboh Naning seawal jam 7 pagi.

Sementara itu, Muhammad Hairul Izwan Nasir, 30, turut memuji Inisiatif berkenaan di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang disifatkan benar-benar membantu rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat.

“Saya beli dua ekor ayam, memang berbaloi. Sekarang harga ayam sekitar RM8 hingga RM9 sekilogram, jadi bila dua ekor RM10 memang susah mahu dapat.

“Kalau beli di pasar raya, dua ekor boleh mencecah RM40. Ini memang penjimatan besar untuk persiapan Aidilfitri,” katanya.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana jelas memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

328
Kongsi :
Previous post 25,000 AYAM RM5 HABIS DALAM TEMPOH EMPAT JAM
Next post KES ROGOL BAWAH UMUR ANTARA PENYUMBANG JENAYAH KEKERASAN DI MELAKA