
AYAM SEGAR RM10 ‘LAKU KERAS’
TABOH NANING 21 Jun – Lebih 500 ekor ayam segar habis dijual apabila harga jualan ditawarkan hanya RM10 seekor bersempena Program Jualan Rahmah Madani KPDN Dan Hari Terbuka Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Seawal jam 8.30 pagi penduduk setempat mula memenuhi perkarangan masjid untuk membeli barangan runcit dan bahan mentah seperti ayam, daging segar serta ikan yang dijual dengan harga jauh lebih rendah dari yang ditawarkan di pasaran.
Pengerusi Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang, Mohd Hafith Alias berkata, program jualan itu julung kali diadakan bersempena hari terbuka masjid berkenaan.
Katanya, selain Jualan Rahmah, beberapa peniaga sekitar turut dipanggil untuk turut serta dan menjual produk mereka.
“Walaupun pertama kali diadakan, sambutan diterima amat menggalakkan apabila dianggarkan 1,000 pengunjung hadir bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan hari terbuka masjid malah untuk membeli barangan keperluan.
“Untuk jualan kita dapat lihat ramai yang datang berbelanja barangan dapur seperti minyak peket, tepung dan beras, malah difahamkan juga sehingga jam 11 pagi lebih 500 ekor ayam terjual.
“Selain itu, turut diadakan pertandingan memasak, taklimat daripada Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Putra Specialist Hospital,” katanya.
Hadir sama pada program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Menurut Mohd Hafith, susulan dari sambutan menggalakkan diterima itu, pihaknya bercadang untuk mengadakan program jualan itu dua bulan sekali.
“Hasil perbincangan awal dengan wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersetuju untuk menganjurkan Jualan Rahmah ini dua bulan sekali di lokasi sama.
“Ini kerana lokasi Masjid Ar-Rahman ini strategik berada di tengah-tengah dan mudah diakses oleh penduduk setempat begitu juga penduduk dari kawasan lain.
“Selain dapat membantu penduduk meringankan beban penduduk dalam berbelanja secara tidak langsung dapat membantu peniaga kecil menjana pendapatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.