Sorting by

×

AZIZAH IKON WANITA BEMBAN 2025

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BEMBAN 6 Julai – Pada usia 73 tahun, Azizah Mamat masih gigih menabur bakti kepada masyarakat dan tidak menghalangnya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, terutama dalam memperkasa kaum wanita.

Atas jasa dan komitmen luar biasa itu, Azizah dinobatkan sebagai Ikon Wanita Bemban 2025, satu penghargaan yang mengiktiraf sumbangannya dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peranan sebagai pemimpin komuniti disandangnya.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop, barisan Exco, Timbalan Exco serta pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Berkongsi mengenai minatnya Azizah berkata, dia aktif bersama NGO dan memegang jawatan penting seperti Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Jasin sejak tahun 2008 sehingga sekarang.

“Penglibatan saya dalam kerja kemasyarakatan bermula sejak usia remaja lagi. Ketika masih bergelar penjawat awam, saya sudah aktif melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sukarelawan.

“Saya bekerja sebagai kerani di jabatan pendidikan selama 33 tahun. Sebelum bersara pada usia 55, saya sudah terlibat dalam banyak NGO,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini mempunyai banyak waktu terluang untuk berbakti kepada masyarakat kerana anak-anaknya yang sudah dewasa dan berdikari.

“Dengan anugerah diberikan ini, saya harap lebih ramai wanita muda tampil untuk menyambung legasi perjuangan kebajikan dan kepimpinan wanita. Menjadi ikon bukan soal nama, tetapi tanggungjawab. Kita perlu cari pelapis kerana kita tidak akan pegang jawatan ini selamanya.

“Saya harap anak-anak muda, terutamanya wanita, tampil ke hadapan dan ambil peranan ini untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post MALAYSIA LULUS 8 LALUAN ANTARABANGSA BAHARU TAHUN INI
Next post UJIAN BAPA TUNGGAL BESARKAN ANAK HIDAP KANSER HATI