
‘BAHANG’ WTD, WTC 2025 MULA DIRASAI 5 JULAI INI
AYER KEROH 5 Jun – Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Forum Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 akan diadakan penuh gilang gemilang pada 5 Julai ini.
Lebih menarik, acara yang diadakan di perkarangan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir itu akan diadakan bersekali dengan Sambutan Ulang Tahun Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO Ke-17.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat World Tourism Melaka (WTM) Norena Jaafar berkata, pra-pelancaran WTD dan WTC 2025 itu bakal dihadiri seramai 189 tetamu dalam dan luar negara.
Jelas beliau, ia merangkumi seramai 159 duta negara luar; 14 Menteri Besar dan Ketua Menteri serta 14 Exco Pelancongan seluruh negeri dalam Malaysia.
“Acara ini akan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Pra-Pelancaran WTD dan WTC 2025 akan diluncurkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Norena berkata, seminggu sebelum tarikh Pra-Pelancaran itu akan diadakan, bumi bersejarah Melaka akan turut diwarnai dengan program Rentak Bertandak yang bermula pada 2 hingga 6 Julai.
Jelas beliau, program itu akan diadakan bagi memperkenalkan budaya serumpun kepada pengunjung sempena Pra-Pelancaran WTD dan WTC 2025 itu diadakan.
“Pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan menarik, selain pada malam 5 Julai juga akan dibawakan artis terkenal tanah air seperti Jaclyn Victor dan Suki.
“Jadi, kita berharap orang ramai akan memeriahkan perkarangan Stadthuys, Banda Hilir pada 5 Julai ini kerana pelbagai aktiviti menarik akan disajikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.