Sorting by

×

BAJET 2026: MELAKA ALU-ALUKAN SUARA, PANDANGAN ANAK MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PANTAI KUNDOR 21 September – Kerajaan Negeri membuka ruang kepada golongan muda menyuarakan cadangan atau pandangan untuk dipertimbangkan dalam pembentangan Bajet 2026 Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, suara pelbagai pihak diperlukan supaya Kerajaan Negeri dapat merencana hala tuju terbaik untuk negeri dan rakyat.

Ketua Menteri berkata, di bawah pentadbiran beliau, Kerajaan Negeri optimis memastikan belia terlibat aktif bukan sahaja di pentas program tetapi juga dalam proses perancangan hingga ke pelaksanaan dasar.

“Sehubungan itu, menjelang Bajet Negeri 2026, Kerajaan Negeri membuka ruang seluasnya kepada anak muda untuk menyuarakan cadangan dan pandangan.

“Saya juga mahu Pemuda UMNO Negeri Melaka tampil lebih kreatif, proaktif dan dekat di hati generasi muda, sama ada di desa atau bandar jadilah penggerak yang mendegar denyut nadi belia.

“Selain turut menyelami aspirasi mereka dan menjadi jambatan antara harapan anak muda dengan dasar Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Penutup Konvoi Pemuda Alor Gajah 2.0 di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri diwakili Setiausaha Politiknya Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah Amirul Basiron.

Menurut Ab Rauf, Pemuda UMNO Negeri Melaka juga diminta untuk memperbanyakkan program menarik yang menyentuh minat belia supaya mereka lebih memahami aspirasi Kerajaan Negeri dalam melestarikan Melaka.

“Hasrat saya jelas, kita mahu suara belia bukan sekadar didengar tetapi diterjemahkan ke dalam tindakan dan dasar yang memberi manfaat nyata kepada generasi muda.

“Malah penganjuran Konvoi Pemuda Alor Gajah 2.0 bukan sekadar acara santai dan juga pertemuan kosong tanpa intinya tetapi wadah mengukuhkan ukhuwah silaturahim serta solidariti khususnya dalam kalangan Pemuda UMNO serta masyarakat setempat,” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri menyokong penuh segala usaha yang digerakkan oleh Pemuda UMNO Alor Gajah dalam memperkukuhkan jaringan komuniti belia selaras dengan agenda pembangunan negeri yang meletakkan penglibatan generasi muda sebagai teras utama.

Terdahulu, kira-kira 600 peserta menyertai Konvoi Pemuda Alor Gajah 2.0 dengan jarak perjalanan lebih 91 kilometer yang bermula di Dataran Keris Alor Gajah dan penamatnya di Pantai Puteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2250
Kongsi :
Previous post BERARAK DAN SELAWAT 1.5KM, TANDA CINTA KEPADA RASULULLAH SAW
Next post TAK PERLU KE PARIS, MELAKA PUN ADA ‘EIFEL TOWER’