
BAJET MELAKA 2026: PERZIM MOHON DANA FOKUS PEMULIHARAAN WARISAN
BANDARAYA MELAKA 21 November – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) berharap Kerajaan Negeri memperuntukkan dana khusus bagi meneruskan usaha pemuliharaan khazanah sejarah serta warisan budaya negeri ini pada pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2026.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, peruntukan itu penting bagi menyokong projek penyelamatan kapal purba serta pemuliharaan warisan fizikal (tangible heritage) dan tidak ketara (intangible heritage).
Katanya, usaha berterusan itu bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati khazanah budaya Melaka.
“Dana ini amat penting bagi memertabatkan warisan Melaka dan mengekalkan khazanah budaya serta sejarah negeri untuk generasi akan datang.
“Pada 2026, PERZIM akan menumpukan perhatian lebih kepada pemuliharaan warisan ketara, termasuk bangunan bersejarah dan struktur fizikal, sementara itu projek berkaitan warisan tidak ketara akan dikaji semula pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Festival Etnik Antarabangsa dan Simposium Melayu Melaka Siri 3 di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Erne berkata PERZIM juga menekankan bahawa sokongan dana amat diperlukan bagi memastikan usaha penyelamatan, pemuliharaan dan dokumentasi warisan dapat dijalankan secara berterusan.
“Usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara identiti budaya Melaka. Kita berharap peruntukan belanjawan dapat membantu PERZIM meningkatkan keberkesanan program pemuliharaan dan memperluas lagi impaknya kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

