
BAJET NEGERI MELAKA 2025 FOKUS KEUTAMAAN, KEPERLUAN RAKYAT – AB RAUF
BANDARAYA MELAKA 10 Jun – Melaka memperuntukkan sebanyak RM88 juta bagi perbelanjaan pembangunan tahun 2025 di bawah Bajet Negeri Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehingga 31 Mei 2025 sebanyak RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada jumlah itu telah dibelanjakan, manakala RM68.48 juta atau 77.82 peratus masih berbaki untuk dilaksanakan dalam tempoh baki tahun ini.
“Menerusi bajet ini sebanyak 241 projek pembangunan telah dirancang setakat Jun 2025, sebanyak 86 projek telah siap, 100 projek dalam pelaksanaan dan 55 projek masih belum bermula.
“Bajet ini adalah perancangan pembangunan negeri peringkat awal dan akan ditapis serta melalui proses berdasarkan keutamaan dan keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2026 bersama YB Exco dan Adun Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan terdapat lima projek yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai lewat, namun kini telah mula dilaksanakan melalui kaedah mesyuarat ‘health check’ dan lawatan ke tapak projek.
“Dengan tempoh hanya enam bulan berbaki sebelum menutup tirai 2025, saya menyeru agar semua projek yang masih tertangguh diberi keutamaan dan disegerakan pelaksanaannya,” katanya.
Ab Rauf, menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk memastikan setiap sen daripada peruntukan pembangunan digunakan sepenuhnya demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Melaka.
“Pencapaian Bajet Negeri Melaka 2024 telah menyaksikan sebanyak RM85 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan 98.8 peratus atau RM83.98 juta telah dibelanjakan.
“Tahniah kepada semua jabatan dan agensi terlibat, ini merupakan pencapaian tertinggi dalam tempoh lima tahun. Maka, untuk tahun ini saya berharap kita dapat mencapai sekurang-kurangnya 99 peratus,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.