Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: 5 INISIATIF ‘DIGITALKAN’ MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri memperkenalkan beberapa inisiatif digital akan diperkukuh tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara inisiatif yang akan diperkasa adalah Sistem E-mel Rakyat Negeri Melaka dengan peruntukan berjumlah RM650,000 bagi tahun 2026.

Jelas beliau, sistem itu akan diteruskan sebagai medium komunikasi rasmi dengan sasaran menjana 250,000 akaun baharu, melibatkan pelajar, guru, penerima asnaf serta Ketua Isi Rumah (KIR) dalam Sistem Kampung Digital Melaka.

Beliau memaklumkan, sesi taklimat Sistem E-mel Rakyat akan diadakan semasa Konvensyen Khas Pendidikan Melaka pada 12 dan 13 Disember 2025 di MITC, di mana sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan dikenal pasti sebagai projek rintis dan akan digunakan sebagai platform komunikasi rasmi antara guru dan ibu bapa.

Selain itu, menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM500,000 bagi penambahbaikan Sistem Kampung Digital Melaka.

“Sehingga kini, lebih 70 peratus daripada 72,394 rumah di seluruh negeri telah berdaftar di bawah inisiatif ini, termasuk 3,030 penduduk yang menukar alamat dalam kad pengenalan mereka secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, Melaka juga akan mengorak langkah sebagai negeri perintis dalam pengurusan tanah perkuburan secara digital menerusi Inisiatif Kubur Digital, di mana melalui sistem itu, setiap plot kubur akan dinomborkan secara digital bagi memudahkan waris mengesan lokasi kubur ahli keluarga.

Selain itu, ujar beliau, Sistem Pembelian Tiket Online Kompleks Falak Al-Khawarizmi akan dibangunkan, yang dijangka mampu meningkatkan jumlah tempahan sehingga 40 peratus.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan memperluaskan rangkaian WIFI percuma diperluas dengan peruntukan RM450,000, meliputi kawasan ICQS Kota Laksamana, SRA dan tadika di bawah JAIM serta sembilan buah Kampung Orang Asli,” tambah beliau.

Seiring usaha membina ekosistem digital yang inklusif, Ab Rauf memaklumkan sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi meneruskan Program MeSRa Digital Melaka yang akan memberi manfaat kepada 6,650 rakyat.

Jelas beliau, inisiatif itu terbukti mampu memperkasa kemahiran digital rakyat, sekali gus melahirkan generasi muda Melaka yang celik teknologi melalui pelbagai program, antaranya, pembangunan Belia Digital Melaka yang memberi tumpuan kepada lebih 3,000 belia dan penyediaan Smart TV di 13 buah sekolah termasuk SRA JAIM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN DIGITAL DIPERKENALKAN DI MELAKA
Next post MELAKA PERUNTUK LEBIH RM20 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT MEMERLUKAN