
BAJET NEGERI MELAKA 2026 BERFOKUSKAN RAKYAT, BERPANDU PORTFOLIO EXCO
SERI NEGERI 3 Disember – Bajet Negeri Melaka 2026 yang dibentangkan pada Jumaat (5 Disember) ini akan berfokuskan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, penyediaan bajet itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak menerusi sesi libat urus yang diadakan sejak awal Mac lalu.
Jelas beliau, sesi libat urus itu melibatkan jabatan dan agensi negeri, agensi Persekutuan, pemain industri, komuniti setempat serta rakyat Melaka.
“Selain itu, input rakyat turut diperolehi melalui program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT), maklum balas menerusi media sosial rasmi Ketua Menteri serta cadangan yang disalurkan oleh penduduk secara langsung kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan masing-masing.
“Malah, input Bajet 2026 turut mengambil kira usul yang dibahaskan oleh wakil belia dalam Persidangan Dewan Belia Negeri Melaka pada bulan Ogos 2025,” katanya pada sidang media Pra Bajet Negeri Melaka 2026 di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, pendekatan penyediaan bajet berasaskan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco turut dikekalkan bagi memastikan setiap inisiatif dapat dipantau dengan lebih berfokus serta dilaksanakan secara berkesan bersama jabatan dan agensi berkaitan.
Selain itu, katanya, beberapa inisiatif terdahulu yang membawa impak besar kepada rakyat turut dikekalkan pada tahun hadapan.
“Bajet ini bakal menjadi sebuah bajet inklusif, di mana perancangan pelaksanaan program dan projek pada tahun 2026 bukan sahaja berdasarkan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, malah turut mengambil kira peruntukan atau projek pembangunan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Negeri Melaka.
“Ini bagi memastikan cadangan bajet yang komprehensif dapat disediakan serta mengelakkan daripada berlakunya pertindihan cadangan pelaksanaan program dan projek di negeri Melaka,” katanya.
Bajet Negeri Melaka 2026 akan dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 5 Disember dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Kerajaan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

