Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026 BERI IMPAK POSITIF KEPADA SEKTOR PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 7 Disember – Bajet Negeri Melaka 2026 yang memperkenalkan inisiatif kemasukan percuma ke produk pelancongan terpilih kepada pelancong berbusana tradisional dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.

Menara Taming Sari antara yang menyambut baik langkah itu kerana ia bukan sahaja menggalakkan orang ramai menghargai kepelbagaian budaya, malah memperluas penghayatan terhadap busana tradisional seperti busana Melayu, Baba Nyonya, Chetti dan pelbagai etnik lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan berkata, inisiatif itu secara tidak langsung berupaya merancakkan sektor pelancongan negeri, selain menggamit pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai warisan budaya Melaka.

Malah ujar beliau, ia turut memberi nilai tambah kepada Program Bila Larut Malam Versi 2.0 yang diteruskan pada tahun hadapan.

“Dengan pengumuman ini, sesiapa sahaja yang hadir dengan mengenakan pakaian tradisional akan diberi kemasukan percuma.

“Ia menjadikan pengalaman melancong ke Melaka lebih menyeronokkan, bukan hanya di Menara Taming Sari, malah di produk pelancongan lain di negeri ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program Bila Larut Malam Edisi Disember 2025, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Nur Azan berkata, pihaknya turut bercadang untuk menjadikan pemakaian busana tradisional sebagai sebahagian daripada budaya kerja petugas Menara Taming Sari pada tahun depan.

“Bayangkan petugas dan pengunjung sama-sama memakai busana tradisional, suasana yang terhasil pasti lebih meriah dan autentik,” katanya.

Bersempena Melaka Bila Larut Malam edisi terakhir 2025 itu, perkarangan Menara Taming Sari bercahaya apabila diwarnai persembahan kebudayaan dan permainan tradisional yang dibawakan khas.

Malah, orang ramai juga tidak melepaskan peluang menikmati pemandangan panorama Melaka pada waktu malam di atas menara berputar 360 darjah dengan harga RM10 sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

653
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA LEBIH 220 PROGRAM PELANCONGAN MENARIK SEPANJANG 2026
Next post KEGAGALAN BAKAR SEMANGAT MOHD SUKUR UNTUK BANGKIT JADI USAHAWAN BERJAYA