Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: BUKTI KOMITMEN PERKASA SYIAR ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Peruntukan terbesar yang diberikan kepada agensi agama dalam pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa syiar Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, berita gembira itu amat disambut baik memandangkan ia bukan sahaja membantu dalam menambah baik infrastruktur agama, bahkan turut membela kebajikan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menerusi kenaikan elaun.

Pada masa sama, ujar beliau, program-program keagamaan juga bakal dirancakkan menerusi peruntukan terbesar yang disalurkan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya peruntukan besar yang diumumkan ini dapat memperbanyakkan program-program keagamaan di lebih kurang 1,000 masjid dan surau di negeri ini.

“Kebiasaannya setiap tahun, lebih 3,000 program keagamaan dianjurkan di negeri ini dan sebab itulah peruntukan yang diberi amat penting dalam memperteguh syiar Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, setiap tahun, Melaka membelanjakan sekitar RM300 juta untuk agensi agama negeri, di mana ia bukan sahaja membabitkan peruntukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, tetapi juga daripada kutipan zakat dan wakaf.

Menurutnya, selain untuk kebajikan dan skim bantuan asnaf, peruntukan itu juga digunakan bagi menggaji kakitangan agensi agama yang berjumlah hampir 4,000 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post RANGKA SOLUSI KHAS TANGANI SALAH LAKU PELAJAR SEKOLAH
Next post HUKUMAN ROTAN MASIH BERKUAT KUASA NAMUN TERKAWAL – EXCO