
BAJET NEGERI MELAKA 2026: DARIPADA BAYI HINGGA DEWASA AKAN TERIMA MANFAAT
AYER KEROH 2 Disember – Bajet Negeri Melaka 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini (5 Disember 2025) bakal membawa khabar gembira kepada seluruh rakyat negeri ini.
Itu bayangan dikongsikan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh.
Menurut beliau, penyediaan bajet tahun depan itu telah bermula seawal Mac lalu menerusi sesi libat urus bersama agensi dan jabatan Kerajaan Negeri serta pemain-pemain industri, selain pandangan dan suara rakyat juga turut diambil kira.
Jelas beliau, kesemua dapatan daripada libat urus dan pandangan rakyat telah disatukan dalam menghasilkan sebuah bajet yang holistik, komprehensif dan merangkumi semua kumpulan sasar.
“Pada pandangan awal, insya-Allah, tiada kumpulan rakyat yang akan tercicir dan semua akan ada sesuatu yang disediakan Kerajaan Negeri.
“Dari segi perancangan kita, ia (Bajet 2026) memberi nmanfaat daripada bayi hinggalah orang dewasa.
“Apapun, kita nantikan pembentangan bajet oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Jumaat ini dan kita harap ia akan diterima baik oleh rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran di MelakaFM pada program ‘Kokenut Shake Dulu’ dengan topik bertajuk Menjelang Bajet Negeri Melaka 2026, hari ini.
Mengulas mengenai gambaran hala tuju Bajet Negeri Melaka 2026, Salhah memaklumkan, ia bakal memberi fokus kepada tiga agenda utama iaitu ekonomi, kesejahteraan rakyat dan perkhidmatan awam.
“Selain itu, bajet yang disediakan ini juga melibatkan 11 portfolio Exco, di samping kita juga membuat satu lagi pengasingan pecahan iaitu membabitkan portfolio TVET.
“Pada masa sama, inisiatif terdahulu yang memberi impak besar kepada rakyat juga akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

