Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026 HOLISTIK, MESRA PELANCONG – PPSPM

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Disember – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyambut baik pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, bajet yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ itu jelas bukan sahaja membela aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat Melaka, bahkan turut memacu kegemilangan sektor pelancongan.

Beliau menyifatkan bajet berkenaan sebagai mesra pelancong dan berpotensi menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara ke negeri bersejarah ini berdasarkan beberapa inisiatif yang diumumkan.

“Antaranya adalah kemasukan percuma sempena 11 sambutan hari badan beruniform dan penjawat awam berserta diskaun 50 peratus kepada ahli keluarga mereka, di mana inisiatif ini dapat menggalakkan rakyat malaysia bercuti di Melaka dan boleh meningkatkan jumlah pelancong dalam kumpulan sasaran yang dinyatakan.

“Malah, pelancong yang memakai busana ektnik budaya semasa program Bila Larut Malam juga akan mendapat kemasukan percuma ke produk pelancongan terpilih dan PPSPM komited menyahut insentif ini dengan menyediakan perkhidmatan sewaan baju kebaya nyonya bagi membantu pelancong menyambut kempen Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, PPSPM juga akan menawarkan diskaun 20 peratus kepada pengunjung yang memakai pakaian ektnik budaya sepanjang 2026 di bawah pakej-pakej PPSPM, di mana usaha ini bukan sahaja menyemarak kemasukan pelancong, bahkan mengangkat kepelbagaian ektnik dan budaya yang ada di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shaharul Azuar, pada tahun depan, PPSPM akan memanfaatkan momentum Tahun Melawat Malaysia (VM 2026) menerusi jalinan kerjasama bersama ejen-ejen pelancongan.

Jelas beliau, ia bagi menarik pelancong dari pasaran antarabangsa seperti benua Eropah, Amerika dan Asia untuk datang ke Melaka River Cruise dalam segmen pelancongan warisan, budaya, sejarah dan pendidikan.

Selain itu, beliau berkata PPSPM juga akan bekerjasama dengan Menara Taming Sari, Panggung Bangsawan, muzium dan pengusaha beca di negeri ini menerusi pakej ‘Pay Less, See More’ yang menawarkan pakej pelancongan bersepadu membolehkan pelancong melawat pelbagai lokasi utama pada harga lebih jimat.

“Malah, perkhidmatan Hop On Hop Off Cruise juga akan diperkenalkan bagi membolehkan penumpang naik dan turun di jeti tertentu tanpa had dalam tempoh masa yang ditetapkan, selain memberi pengalaman menarik dan santai untuk pelancong yang mahu menerokai bandar Melaka.

“Selain itu, kita turut menyasarkan kehadiran satu juta pelancong ke produk pelancongan di bawah PPSPM seperti Melaka River Cruise, Eco Cruise Tasik Chin Chin dan Eco Cruise Sungai Linggi,” tambahnya.

Menurut beliau, Bajet Negeri Melaka 2026 jelas telah dirangka secara holistik melalui sesi libat urus yang diadakan dengan pelbagai pihak, sekali gus impaknya memberi tempias bukan sahaja kepada pemain industri pelancongan malah kepada pengusaha dan peniaga kecil, komuniti, pelancong bajet, penjawat awam dan lain-lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post SEDEKAD BINA EMPAYAR KLINIK GIGI, DR. NURUL AIN DIIKTIRAF USAHAWAN WANITA BERJAYA MELAKA