Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: KEPERLUAN RAKYAT DITERJEMAH DALAM BENTUK TINDAKAN – RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BUKIT KATIL 8 Disember – Kerajaan Negeri komited menterjemah keperluan rakyat menerusi Bajet Negeri Melaka 2026 yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Jumaat lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu dibuktikan menerusi beberapa perkara membabitkan keperluan rakyat di sekitar negeri ini.

Rais yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang memaklumkan Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Sungai Udang.

“Kerajaan Negeri akhirnya mengumumkan kelulusan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Sungai Udang selepas rakyat menunggu lebih 20 tahun.

“Ia sekali gus menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pendidikan agama di kawasan ini dan pembinaan dijangka bermula pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Fun Walk Bertemakan ‘Melangkah Laju, Integriti Padu’ sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025 bersama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bukit Katil yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), semalam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil) merangkap Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata kerajaan negeri turut mengumumkan beberapa bajet pembangunan lain, termasuk peruntukan RM4.1 juta untuk penyuraian trafik di persimpangan Paya Rumput.

“Kita juga menerima kelulusan sebanyak RM4.1 juta daripada Kementerian Kerja Raya untuk menambah baik Persimpangan Paya Rumput di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang sering sesak pada waktu puncak, projek ini diharap mampu mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan,”

Selain itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan atas kelulusan peruntukan RM3 juta kepada Lembaga Perumahan Melaka (LPM) merangkumi RM1 juta bagi pembaikan rumah uzur dan RM2 juta untuk pembinaan baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI SERIUS TANGANI JANGKITAN VIRUS INFLUENZA
Next post ENAM INFRASTRUKTUR KESIHATAN DI MELAKA