
BAJET NEGERI MELAKA 2026 LULUS
SERI NEGERI 9 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini, meluluskan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’.
Bajet yang menggariskan 204 inisiatif berteraskan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) itu lulus selepas disokong 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sesi undian selepas ucapan penggulungan Usul dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 pada pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang Adun iaitu Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) berkecuali, manakala dua lagi Adun iaitu Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) tidak hadir.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 itu telah digulung Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan sebelum itu dibahas seramai tujuh Adun.
Pada 5 Disember lalu, Ketua Menteri membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 dengan meneruskan inisiatif bajet lebihan menerusi anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM528.8 juta dan unjuran kutipan hasil berjumlah RM528.9 juta.
Sementara itu, Perbelanjaan Pembangunan pula berjumlah RM93 juta iaitu RM56.6 juta daripada sumber Hasil Negeri; RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP); RM8 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.
Sebanyak tiga matlamat utama digariskan pada bajet 2026 iaitu melestari pembangunan dan keberhasilan ekonomi; mensejahterakan rakyat dan pembangunan modal insan serta memantapkan tatakelola dan kecekapan tadbir urus.
Selain itu, Bajet Negeri Melaka 2026 juga diterjemahkan melalui ekosistem strategik, dengan 13 tumpuan utama, meliputi 11 portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) serta perkhidmatan awam.
Antara peruntukan terbesar disalurkan tahun depan adalah kebajikan rakyat dengan memberi tumpuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Selain itu, pemerkasaan syiar Islam turut mendapat perhatian utama Kerajaan Negeri dengan menyalurkan peruntukan terbesar untuk agensi agama.
Tidak terkuali, golongan peniaga, nelayan, petani, pelajar dan pelancong turut menerima manfaat daripada bajet yang diumumkan.
Buat julung kalinya juga, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf peranan pengamal media sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan dan rakyat dengan menghadiahkan RM500 secara sekali bayar.
Pada masa sama, penjawat awam negeri turut menerima dua berita gembira menerusi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 pada hujung tahun ini dan ditambah lagi dengan pemberian RM500 yang akan dibayar pada Mac tahun depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


