
BAJET NEGERI MELAKA 2026: MPHTJ LAKSANA NAIK TARAF INFRASTRUKTUR LEBIH MENYELURUH
SERI NEGERI 9 Disember – Peningkatan peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi Bajet Negeri Melaka 2026 memberi ruang lebih luas khususnya kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melaksanakan kerja pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, tumpuan bajet kali ini banyak menjurus kepada penyelenggaraan infrastruktur dan pembaikan kemudahan awam.
“Kita sedia maklum bahawa banyak taman-taman perumahan di dalam kawasan pentadbiran MPHTJ yang telah berusia dan infrastruktur sedia ada agak uzur atau sudah rosak.
“Justeru itu dengan bajet yang diumumkan MPHTJ akan cuba memenuhi hasrat penduduk bagi memperbaiki infrastruktur berkenaan.
“Dengan penambahbaikan dan kerja naik taraf itu diharap rakyat akan menikmati kemudahan disediakan dengan lebih selesa dan sejahtera, sesuai dengan tema Bajet Negeri Melaka 2026 iaitu ‘Demi Rakyat Untuk Rakyat’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Menurut Sapiah, bajet yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Jumaat lalu menunjukkan terdapat peningkatan berbanding peruntukan diterima MPHTJ khususnya pada tahun sebelum.
“Contoh penebangan dan catasan pokok, jika tahun 2024 bajet diterima sebanyak RM900,000 tetapi tahun ini angka itu naik kepada RM1.6 juta dan untuk 2026 jumlahnya ditambah lagi.
“Ini memang usaha kami di pihak PBT untuk memastikan keselamatan dan kemudahan masyarakat dapat dipenuhi dengan sebaiknya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


