Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: MPJ BINA DUA TAPAK PENJAJA BERPUSAT DI JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 9 Disember – Skim Mesra Penjaja diperkenalkan Kerajaan Negeri melalui inisiatif Kawasan Penjaja Berpusat Dalam Komuniti amat membantu peniaga kecil di Melaka untuk terus berkembang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari, menyambut baik inisiatif diumumkan dalam Bajet Negeri Melaka 2026 itu dan menjelaskan setakat ini pihaknya telah mewujudkan dua kawasan penjaja berpusat.

“Alhamdulillah MPJ setakat ini memang sudah ada penempatan penjaja berpusat, antaranya di Jasin Bestari yang juga merupakan salah satu lokasi tapak Pasar Ramadan tahunan.

“Satu lagi kawasan yang sedang ditambah baik ialah R&R Rock @ Batu 14, Bemban yang pada asalnya dibangunkan untuk penjaja, namun kini turut menjadi lokasi tumpuan peniaga yang menyewa tapak perniagaan serta kios untuk menjual sarapan pagi dan lain-lain.

“Hasil inisiatif dilaksanakan, dapat dilihat penjaja di kawasan itu semakin berkembang, malah MPJ juga baru selesai menaik taraf infra serta pencahayaan untuk keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di sini, hari ini.

Mengulas mengenai dasar penyediaan tapak penjaja, beliau menjelaskan bahawa ia ditetapkan mengikut keluasan pembangunan sesebuah projek dan kesesuaian lokasi.

“Pemaju diwajibkan menyediakan ruang khusus bagi memastikan penjaja tidak berniaga secara berselerak berdasarkan garis panduan sedia ada yang telah dikeluarkan.

“Ini memang hasrat yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mana setiap pembangunan baharu ada tapak penjaja yang tersusun dan memenuhi permintaan penjaja kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

980
Kongsi :
Previous post PENYAMPAIAN KELULUSAN TANAH DAN NOTIS 5A CERIAKAN 95 PENERIMA