
BAJET NEGERI MELAKA 2026: PENJAWAT AWAM SAHUT CABARAN PASTIKAN SISTEM PENYAMPAIAN EFISIEN, MESRA RAKYAT
SERI NEGERI 9 Disember – Pemberian bantuan khas kewangan kepada penjawat awam menerusi Bajet Negeri Melaka 2026 disahut dengan semangat untuk terus memastikan sistem penyampaian Kerajaan Negeri kekal efisien dan mesra rakyat.
Berita gembira itu meningkatkan lagi keyakinan penjawat awam bahawa kesejahteraan mereka akan terus menjadi perhatian utama dalam agenda pembangunan negeri.
K Mahendran, 38, berkata pengumuman durian runtuh itu amat melegakan, kerana penjawat awam juga terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
“Apabila kerajaan prihatin dan cakna berhubung aspek kebajikan kami, penjawat awam pastinya akan memberikan perkhidmatan terbaik. Sepanjang tahun semua penjawat awam bekerja keras dalam menyokong aspek perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan mematikan pengurusan Kerajaan Negeri lancar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Siti Norliah Abdul Kadir, 42, berkata, pengumuman bantuan khas itu dianggap sebagai satu bentuk penghargaan kepada penjawat awam yang menjadi tulang belakang sistem penyampaian perkhidmatan negeri.
“Ini tanda kepercayaan dan penghargaan, menyuntik motivasi dalam diri semua penjawat awam untuk berkhidmat dengan lebih baik dan meneruskan komitmen kepada rakyat,” ujarnya.
Manakala Musfirah Abd Malik, 37, pula berkata, penyaluran bantuan kewangan itu amat tepat pada masanya terutama bagi penjawat awam yang mempunyai anak sedang bersekolah.
“Alhamdulillah perbelanjaan sekolah anak-anak sudah ada, tambahan RM500 lagi boleh digunakan sebagai persiapan menyambut Ramadan atau Aidilfitri nanti.
“Kami rasa dihargai apabila kerajaan negeri terus memahami keperluan penjawat awam. Apatah lagi buat kami yang bekeluarga dan mempunyai anak-anak kecil masih sekolah, jadi pemberian bonus ini dapat dimanfaatkan sebaiknya,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


