Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERANAN PENGAMAL MEDIA DIIKTIRAF

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Peranan pengamal media di negeri ini diiktiraf dan dihargai Kerajaan Negeri menerusi pemberian insentif khas sebanyak RM500 seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, insentif tersebut mencerminkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada pengamal media yang menjadi antara petugas barisan hadapan penting dalam sudut pelaporan berita.

“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan Negeri kerana mengiktiraf seluruh pengamal media di negeri ini.

“Insentif ini menjadi tanda penghargaan di atas jasa dan peranan pengamal media yang banyak membantu Negeri Melaka khususnya dalam sektor pelancongan dan menyampaikan berita yang benar kepada rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Tidak hanya itu, Fairul Nizam memaklumkan Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025 pada 14 Disember ini, juga sebagai tanda menghargai keringat para pengamal media dan pempengaruh yang banyak membantu menaikkan nama Negeri Melaka.

“Selepas beberapa tahun tidak dianjurkan, tahun ini Anugerah Media Melaka kembali dengan mempertandingkan 10 kategori anugerah untuk pengamal media dan pempengaruh.

“Majlis ini juga menjadi tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua media yang banyak membantu Kerajaan Negeri menyampaikan dasar kepada rakyat, selain membantu mempromosi Negeri Melaka sehingga menjadi tumpuan dunia,” katanya.

Antara kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025 adalah Laporan Berita Akhbar (bahasa Melayu) Cemerlang; Laporan Berita Akhbar (Bahasa Inggeris) Cemerlang; Laporan Berita Akhbar (Bahasa Cina) Cemerlang; Laporan Berita Akhbar (Bahasa Tamil) Cemerlang dan Anugerah Kewartawanan Rencana Cemerlang.

Selain itu, ia turut mempertandingkan Anugerah Foto Cemerlang; Laporan Berita TV Cemerlang; Kandungan Video/Visual Cemerlang; Penyampai Radio Cemerlang; Media Digital Cemerlang; Tiktokers Melaka Cemerlang dan Wartawan Muda Melaka Cemerlang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

192
Kongsi :
Previous post PETI ADUAN SEKOLAH BANTU PELAJAR LAPOR KES BULI
Next post HAMPIR RM800,000 DIPERUNTUKKAN BAIK PULIH RUMAH DI MELAKA