Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERKASA ASPEK KEAGAMAAN DAN KEROHANIAN UMMAH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT PALAH 2 Disember – Pembangunan keagamaan dan aspek kerohanian ummah diharap turut diberikan perhatian pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026, sekali gus menyuburkan lagi syiar Islam di bumi bersejarah ini.

Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, aspek kerohanian dan keagamaan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya agar seiring dengan pembangunan pesat berlaku di Melaka ketika ini.

“Peruntukan disalurkan nanti membolehkan pelaksanaan pelbagai program keagamaan dan dakwah secara aktif, efisien serta difokuskan kepada golongan sasar. Semua ini juga bagi mencegah dan mengubati masalah sosial serta buli di sekolah yang semakin kerap dilaporkan selain mengelakkan perpecahan dalam masyarakat kita.

“Pencegahan boleh dilakukan menerusi usaha seperti mendidik atau program meningkatkan kesedaran. Insya-Allah Melaka akan menjadi sebuah negeri yang aman lagi sejahtera serta mendapat pengampunan daripada Allah SWT,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau juga menzahirkan harapan agar Bajet Negeri Melaka 2026 kukuh daripada segi perolehan hasil dan perbelanjaan, selaras dengan keperluan pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat.

“Saya mendoakan supaya hasil Kerajaan Negeri yang diperoleh melalui cukai, pengambilan tanah dan sumber lain akan mencukupi bagi membiayai pembangunan serta keperluan pentadbiran.

“Hasil yang diperoleh juga diharap memadai untuk menampung pembangunan, daripada sudut perbelanjaan pula rakyat pastinya berharap Kerajaan Negeri dapat memberi penekanan kepada kos sara hidup, kemudahan awam, pendidikan dan perubatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post 191 PREMIS MAKANAN MELAKA DIIKTIRAF BERSIH, SELAMAT
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026: DARIPADA BAYI HINGGA DEWASA AKAN TERIMA MANFAAT