Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERUNTUKAN INKLUSIF, LESTARI PERKASA KEBAJIKAN GOLONGAN SASAR

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 24 November – Peruntukan bajet lebih inklusif dan lestari diharap akan disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Bajet 2026 bagi memastikan perancangan di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti terus diperkasakan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, peruntukan yang disalurkan nanti diyakini akan diagihkan secara lebih menyeluruh dan diperluaskan bagi manfaat golongan sasar.

“Saya amat berharap peruntukan akan diumumkan pada Disember oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bukan sahaja lestari dan inklusif tetapi juga seimbang bagi memperkasakan pembangunan di bawah portfolio saya.

“Seperti sebelum ini, setiap tahun akan ada penambahbaikan menerusi bajet yang diumumkan, harapan saya untuk Bajet 2026 juga akan membawa berita gembira.

“Dengan peruntukan diberikan, selain memfokuskan aspek kebajikan, tumpuan juga untuk program pemerkasaan wanita seiring dengan agenda pembangunan mampan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, perhatian juga diharap diberikan kepada golongan warga emas sebagai persediaan jangkaan menghadapi negara menua menjelang 2030.

“Pada waktu ini kita berdepan dengan pusat jagaan warga tua yang terhad khususnya yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) justeru itu besar harapan agar kita dapat menambah bilangan itu.

“Namun begitu dipihak Kerajaan Negeri, aspek kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan selain memastikan tiada mereka yang terpinggir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

94
Kongsi :
Previous post KERUING NERAM, MERAWAN SIPUT JANTAN ‘PELINDUNG’ EMPANGAN JUS