Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERUNTUKAN UNTUK ASNAF MENINGKAT – MAIM

Masa Membaca:54 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Peningkatan peruntukan bantuan khususnya untuk golongan asnaf menerusi Bajet Negeri Melaka 2026 membuktikan Kerajaan Negeri memberi tumpuan penuh kepada golongan memerlukan sekali gus prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad berkata, melihat kepada peruntukan yang diumumkan, ia adalah bajet amat inklusif apabila bukan hanya terdapat kenaikan tetapi turut diperkenalkan beberapa skim baharu.

“Sudah pasti MAIM menyambut baik dan menyokong penuh bajet yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh apabila golongan asnaf mendapat perhatian dengan kadar kenaikan bantuan diterima.

“Dengan bantuan disalurkan seperti bantuan sakit kronik ia dapat membantu golongan asnaf mendapat rawatan dengan lebih baik.

“Malah, menerusi skim dan bantuan baharu yang diumumkan juga ia secara tidak langsung membantu kehidupan asnaf secara menyeluruh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaifulfazlee, MAIM sentiasa memastikan setiap peruntukan diagihkan secara telus dan berkesan, selari dengan objektif bajet untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri bukan sahaja akan membantu meringankan kesulitan golongan asnaf tetapi dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post HAMPIR RM800,000 DIPERUNTUKKAN BAIK PULIH RUMAH DI MELAKA