
BAJET NEGERI MELAKA 2026: WIFI PERCUMA DIPERLUAS DI LUAR BANDAR
SERI NEGERI 9 Disember – Bajet Negeri Melaka 2026 berupaya merapatkan jurang digital di antara masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar menerusi inisiatif Melaka Digital.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Melaka Digital merupakan inisiatif menyediakan perkhidmatan WiFi percuma, di mana pada tahun depan, tumpuan akan diberikan khusus di kawasan luar bandar.
“Alhamdulillah, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh amat prihatin kepada keperluan rakyat, terutama dalam aspek digital dengan memberi tumpuan kepada keperluan kepada rakyat di kawasan luar bandar.
“Menerusi perluasan program WiFi percuma ini, manfaatnya akan sampai kepada masyarakat Orang Asli dan begitu juga di sekolah rendah agama yang amat memerlukan keperluan internet bagi tujuan pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, tahun depan juga Kerajaan Negeri meneruskan program Rakyat Digital dengan peruntukan RM300,000.
Jelas beliau, Rakyat Digital merupakan inisiatif bertujuan menganjurkan program-program bagi memperkasa pengetahuan dan pendedahan kepada masyarakat mengenai kecerdasan buatan (AI).
“Untuk tahun ini (2025) kita telah bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan institusi pengajian tinggi lain untuk memperluas program AI ini ke kawasan luar bandar bagi membantu mereka memahami apa itu AI.
“Malah, kita juga menyediakan peruntukan kepada Japerun bersama Ahli Dewan Belia dan wakil rakyat untuk memberi pendedahan mengenai AI kepada anak-anak mua di seluruh Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


