
BAJET NEGERI MELAKA TAHUN 2026: KEBAJIKAN RAKYAT DIPERKASA, PERUNTUKAN MENINGKAT
SERI NEGERI 11 Disember – Bajet Negeri Melaka Tahun 2026 disifatkan sebagai antara yang terbaik pernah dibentangkan apabila Kerajaan Negeri terus mengukuhkan agenda kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, usaha kerajaan memastikan kebajikan seluruh rakyat terbela diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif bermula sejak fasa kehamilan, proses bersalin, penjagaan anak, sehinggalah kepada pengurusan akhir hayat.
“Menerusi portfolio saya, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan kebajikan melalui Bajet Negeri Melaka 2026 kepada RM156.5 juta, jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata antara peruntukan utama kebajikan melibatkan Bantuan Mesra Am bernilai RM11.4 juta kepada 2,940 penerima.
Jelasnya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk Bantuan Mesra Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin yang disediakan untuk 1,076 keluarga.
“Bantuan Mesra Lampin Pakai Buang Dewasa ditingkatkan kepada RM2.1 juta kepada 3,179 penerima; Bantuan Mesra Susu Orang Terlantar dengan peruntukan RM1.7 juta kepada 380 penerima.
“Bantuan Mesra Pengurusan Jenazah B40 berjumlah RM200,000 bagi meringankan kos pengurusan jenazah golongan B40,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

