
BALAI ISLAM KAMPUNG PULAU JADI PUSAT LATIH IMAM MUDA
TANJUNG BIDARA 18 Oktober – Balai Islam Kampung Pulau bakal menjadi pusat melatih imam-imam muda negara pada masa akan datang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Jelas beliau, latihan itu akan diberikan kepada mereka memandangkan Balai Islam itu bakal dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti masjid, sekolah agama, tanah perkuburan dan dewan serbaguna.
Pada masa sama beliau berkata, imam-imam belia yang dilatih itu juga akan dibawa dalam program pertukaran di negara serantau, umpamanya Singapura yang mempunyai pengurusan masjid dan wakaf yang begitu tersusun.
“Jadi, imam-imam ini boleh dihantar ke Singapura untuk belajar ilmu pengurusan Islam dan bila mereka kembali, kita harap mereka dapat menurunkan ilmu dan pengalaman di sana ke negara ini. Itu harapan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Komuniti ‘Semanis MABIMS Seharum Serantau’ Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura merangkap Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam Mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama (Kheu) Mohammad Rosli Ibrahim dan Kepala Biro Hukum Dan Kerjasama Luar Negeri Republik Indonesia Mewakili Menteri
Agama Republik Indonesia Imam Syaukani.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Mohd Na’im dalam sejarah penubuhan MABIMS sejak 1989, ini merupakan kali pertama sebuah kampung iaitu Kampung Pulau dipilih sebagai Kampung Angkat MABIMS.
Jelas beliau, pemilihan itu bermatlamat untuk menjadikan kampung tersebut memainkan peranan dan menunjukkan bahawa Islam itu adalah satu agama rahmatan lil alamin, selari dengan konteks dibawa Kerajaan MADANI.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.