
BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN DI MELAKA DIAGIH SECARA BERPERINGKAT BERMULA HARI INI
PANTAI KUNDOR 12 Januari – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka akan mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara berperingkat bermula hari ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata, pengagihan itu dijadual selesai dalam tempoh 30 hari, di mana ia akan memanfaatkan seramai 155,406 murid dan pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 6 di negeri ini.
Menurut beliau, mengikut pecahan, daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan murid dan pelajar tertinggi menerima BAP iaitu membabitkan seramai 91,536 orang.
“Ia diikuti 37,796 di daerah Alor Gajah dan 26,074 di daerah Jasin dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM23,310,900,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari pertama persekolahan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026 di sekolah berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.
Menurut Mahfudzah, BAP merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga bagi menghadapi sesi persekolahan baharu, selain turut menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan lebih inklusif dan menyeluruh.
“Saya menyeru ibu bapa atau penjaga dan murid serta pelajar yang menerima manfaat BAP 2026 ini agar dapat meningkatkan motivasi dalam membina kecemerlangan supaya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


